Wednesday, August 16, 2006

Kaki Ampu ?

KOTA BHARU 15 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau mempunyai bukti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba menjatuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

Katanya, secara tidak langsung masalah itu juga sudah mewujudkan ‘beberapa kelompok’ dalam Kabinet serta UMNO sendiri dan jika perkara itu tidak dihentikan sudah tentu masalah yang lebih besar akan dihadapi terutama pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, dakwaannya bahawa Dr. Mahathir cuba menjatuhkan Perdana Menteri sebelum ini juga tidak pernah dinafikan malah beberapa kenyataan bekas Perdana Menteri itu yang pernah disiarkan dalam akhbar Straits Times Singapura sebelum ini jelas membuktikan Dr. Mahathir mempunyai niat tersebut.

‘‘Saya sehingga hari ini menunggu penafian Tun terhadap kenyataan saya benarkah dia nak jatuhkan Pak Lah tetapi tidak ada. Hari-hari saya baca semua surat khabar tapi Tun tak nafi pun,’’ katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Sebaliknya, Nazri menjelaskan Dr. Mahathir hanya dilaporkan berkata beliau tidak mampu untuk melakukannya secara berseorangan dan perkara sebesar itu hanya boleh dilakukan oleh anggota UMNO sendiri.

‘‘Apa tujuannya tu kalau bukan nak burukkan imej Perdana Menteri dan saya nak dengar sendiri Tun cakap Nazri ni bohong Tun cuba nak jatuhkan Pak Lah. Saya tidak ada masalah nak dedah (bukti itu),’’ katanya.

Bagaimanapun, Nazri menafikan sekali lagi pernah membuat kenyataan Dr. Mahathir sebenarnya mahu merampas kuasa kerana beliau yakin bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai niat sedemikian.

‘‘Saya bukan bodoh nak cakap macam tu,’’ katanya.

Beliau berkata, tindakannya ‘menghentam’ Dr. Mahathir bukan bermakna perasaan hormat dan sayang kepada bekas pemimpin itu sudah hilang sebaliknya ia dibuat kerana lebih sayangkan parti.

‘‘Saya sebenarnya sayangkan Tun kerana banyak kenangan manis saya bersama Tun tetapi demi lebih sayangkan parti saya terpaksa pertahankan apa yang dibuat kerajaan kerana kami sebagai wakil rakyat ada tanggungjawab kepada rakyat dan negara,’’ katanya.

Beliau berkata, demi masa depan parti, adalah lebih baik bekas Perdana Menteri itu menerima hakikat bahawa keputusan kerajaan terhadap beberapa perkara yang dibangkitkannya adalah untuk rakyat.

‘‘Takkan kerajaan menghentikan pembinaan jambatan (ke Singapura) kerana mahu mengecewakan Tun. Keputusan itu demi rakyat dan bukan mahu melihat Tun kecewa sampai sanggup berbuat begini,’’ katanya.

‘‘Takkan kita nak benarkan Tun yang pernah berkuasa selama 22 tahun (menjadi Perdana Menteri) berbuat apa sahaja untuk menghancurkan parti yang kita sayang ini.

‘‘Saya boleh slow tetapi nasihat itu juga perlu dituju kepada Tun supaya sudahlah (untuk terus mengkritik kerajaan) dan bagilah peluang kepada Pak Lah mentadbir dengan baik negara ini,’’ katanya.

No comments: