Wednesday, August 16, 2006

Layakkah Mereka ni ?

TEKA-TEKI mengenai penyertaan pasukan MyTeam dalam saingan Liga Malaysia terjawab semalam apabila pengerusinya, Khairy Jamaluddin mengumumkan pasukan berkenaan akan menyertai liga itu musim depan atas nama Perak UPB.

Katanya, ini berikutan keputusan pihak pengurusan MyTeam yang bersetuju mengambilalih pengurusan kelab Perak UPB yang sebelum ini dikendalikan serta ditaja United Plantation Berhad (UPB).

“Memandangkan sudah ada persetujuan, kita kini dalam proses perbincangan beberapa isu serta meminda beberapa perlembagaan dalam pengurusan UPB,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Teluk Intan, petang semalam.

Khairy berkata, pasukan MyTeam terpaksa bermain atas nama UPB kerana ia adalah antara permintaan pengurusan kelab berkenaan tapi ia hanya untuk satu musim.

Katanya, memandangkan pihak pengurusan pasukan itu iaitu United Plantations Berhad sudah tidak berminat untuk terus menaja pasukan bola sepak itu, pihak pengurusan MyTeam bersetuju mengambilalih.

“Kita sudah 100 peratus mengambil alih kelab berkenaan yang berpusat di Teluk Intan. Kita cuma perlu menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan pengurusan pasukan berkenaan antaranya padang latihan dan gelanggang perlawanan.

“Dalam hal ini kita besar kemungkinan mengadakan latihan pusat di luar Jendarata (padang latihan UPB) selain kita juga belum memutuskan stadium yang bakal digunakan sebagai gelanggang tuan rumah,” katanya.

Khairy berkata, pihak pengurusan MyTeam tidak berminat menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat latihan mereka kerana kosnya yang tinggi sebaliknya Seremban atau Melaka mungkin menjadi pertimbangan.

Katanya, majoriti pemain dalam pasukan MyTeam adalah mereka yang terpilih menentang pasukan Malaysia lalu, tapi beberapa pemain berpotensi UPB yang mewakili pasukan berkenaan musim lalu akan turut diberi peluang beraksi, itupun sekiranya dapat menandingi pemain MyTeam sedia ada.

Bagaimanapun, katanya jurulatih serta beberapa pegawai pasukan untuk menerajui pasukan MyTeam belum dikenal pasti lagi, tapi beberapa nama jurulatih yang pernah melatih pasukan elit dalam kancah Liga Super sedang dalam pertimbangan pihaknya.

“Kami belum mensasarkan sebarang sasaran untuk musim depan cuma penyertaan MyTeam dalam kancah bola sepak Liga Perdana adalah pasti di bawah nama UPB.

“Kami akan memanggil semua pemain yang mewakili MyTeam sebelum ini dan dalam masa yang sama bukan semua 25 pemain yang terpilih akan dipilih secara automatik, tapi sebaliknya kita akan mengadakan beberapa sesi pemilihan terbuka seperti sebelum ini untuk mencari bakat baru bagi diberi pendedahan ke peringkat yang lebih tinggi.


No comments: